Saturday, April 4, 2009

Pas masih ketinggalan sokongan Melayu di Bukit Gantang

TAIPING: Lima hari berkempen selepas hari penamaan calon pada Ahad lepas, Pas hari ini mendakwa ia masih ketinggalan dari segi sokongan pengundi Melayu berbanding Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini.

Pengarah Pilihan raya Pas Pusat, Datuk Mustaffa Ali, bagaimanapun menegaskan jentera pilihan raya parti itu berjaya merapatkan jurang sokongan pengundi Melayu itu yang kini didakwanya tidak jauh berbeza.

"Menjelang 7 April ini kita akan menutup jurang itu, insyaAllah. Bagaimanapun dari segi sokongan pengundi Cina dan India di Bukit Gantang, Pas masih lagi mendahului BN," katanya pada sidang akhbar di Markas Pas Air Kuning di sini, hari ini.

Berdasarkan keputusan pada beberapa pilihan raya di kawasan itu sebelum ini, sokongan pengundi Melayu terbahagi dua, hampir kira-kira separuh kepada BN dan Pas, namun BN sentiasa menikmati sokongan yang lebih banyak berbanding parti pembangkang itu.

Kenyataan Mustaffa itu sekaligus mengesahkan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu lalu bahawa pengundi Melayu dalam kawasan pilihan raya kecil Bukit Gantang menunjukkan perubahan sikap lebih positif selepas beberapa hari jentera pilihan raya BN berkempen.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, sekadar menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai kata-kata motivasi untuk petugas BN pada pilihan raya kecil parlimen berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Pas ada menerima laporan berhubung dakwaan bahawa calonnya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meninggalkan majlis solat jenazah seorang ahli Umno semalam selepas beliau tidak dibenarkan menjadi imam,

Mustaffa berkata, dakwaan itu perlu disahkan terlebih dahulu kerana parti tersebut tidak menerima apa-apa laporan berhubung insiden berkenaan. - Bernama






No comments: