Saturday, April 4, 2009

Pengundi Bukit Gantang ambil peluang bersama Najib jana perubahan: Ismail

TAIPING: Pengundi di Parlimen Bukit Gantang perlu mengambil peluang untuk bersama-sama Datuk Seri Najib Razak yang dilantik menjadi Perdana Menteri hari ini bagi merencana serta menjana perubahan untuk kemakmuran negara pada masa depan sesuai dengan konsep 'Satu Malaysia', kata calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa pelantikan Najib sebagai perdana menteri keenam akan membawa banyak idea baru sekaligus menjadi pemangkin terhadap perubahan dalam kerajaan dan BN.

"Berdasarkan rekod dan pengalaman Najib yang begitu luas, saya yakin beliau akan memacu negara ke arah perubahan yang lebih signifikan terhadap kemajuan dan kemakmuran negara," katanya ketika ditemui di pejabat Umno Bahagian Bukit Gantang di sini.

Sebelum itu, beliau menghadiri beberapa siri program bertemu rakyat dan melawat mangsa banjir di sekitar Parlimen Bukit Gantang.

Mengenai dakwaan pembangkang bahawa BN melaksanakan projek 'mee segera' untuk memancing undi, beliau berkata, projek yang sedang dilaksanakan sekarang sebenarnya sudah dirancang sebelum pilihan raya kecil itu lagi.

Beliau berkata, projek yang dijalankan seperti pembinaan jalan, longkang dan perparitan bagi mengelakkan banjir adalah untuk kemudahan rakyat yang perlu disegerakan tanpa menunggu pilihan raya, selain pilihan raya kecil itu bukan sesuatu yang dirancang.

Ismail berkata, Pas sentiasa mencari apa sahaja peluang yang ada untuk memanipulasi sebarang isu bagi mengelirukan pengundi sedangkan rakyat semakin bijak menilai kemampuan serta keikhlasan BN melaksanakan projek pembangunan.

"Semua projek itu dijalankan bukan untuk kepentingan penyokong BN semata-mata tetapi untuk semua rakyat termasuk penyokong Pas. Malah, dari Perlis hingga Kuala Lumpur kita akan melihat banyak projek seperti itu dilaksanakan sedangkan di tempat berkenaan bukan ada pilihan raya," katanya.

Pada pilihan raya kecil 7 April ini, Ismail, 49, dicabar calon Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, 52, dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris, 42.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum dari Pas pada 9 Februari lalu, akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 8 Mac, 2008, Roslan memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan calon BN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M Mohganan dengan majoriti 1,566 undi. - Bernama

No comments: