Saturday, April 4, 2009

Pas masih ketinggalan sokongan Melayu di Bukit Gantang

TAIPING: Lima hari berkempen selepas hari penamaan calon pada Ahad lepas, Pas hari ini mendakwa ia masih ketinggalan dari segi sokongan pengundi Melayu berbanding Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini.

Pengarah Pilihan raya Pas Pusat, Datuk Mustaffa Ali, bagaimanapun menegaskan jentera pilihan raya parti itu berjaya merapatkan jurang sokongan pengundi Melayu itu yang kini didakwanya tidak jauh berbeza.

"Menjelang 7 April ini kita akan menutup jurang itu, insyaAllah. Bagaimanapun dari segi sokongan pengundi Cina dan India di Bukit Gantang, Pas masih lagi mendahului BN," katanya pada sidang akhbar di Markas Pas Air Kuning di sini, hari ini.

Berdasarkan keputusan pada beberapa pilihan raya di kawasan itu sebelum ini, sokongan pengundi Melayu terbahagi dua, hampir kira-kira separuh kepada BN dan Pas, namun BN sentiasa menikmati sokongan yang lebih banyak berbanding parti pembangkang itu.

Kenyataan Mustaffa itu sekaligus mengesahkan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu lalu bahawa pengundi Melayu dalam kawasan pilihan raya kecil Bukit Gantang menunjukkan perubahan sikap lebih positif selepas beberapa hari jentera pilihan raya BN berkempen.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, sekadar menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai kata-kata motivasi untuk petugas BN pada pilihan raya kecil parlimen berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Pas ada menerima laporan berhubung dakwaan bahawa calonnya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meninggalkan majlis solat jenazah seorang ahli Umno semalam selepas beliau tidak dibenarkan menjadi imam,

Mustaffa berkata, dakwaan itu perlu disahkan terlebih dahulu kerana parti tersebut tidak menerima apa-apa laporan berhubung insiden berkenaan. - Bernama






Pengundi Bukit Gantang ambil peluang bersama Najib jana perubahan: Ismail

TAIPING: Pengundi di Parlimen Bukit Gantang perlu mengambil peluang untuk bersama-sama Datuk Seri Najib Razak yang dilantik menjadi Perdana Menteri hari ini bagi merencana serta menjana perubahan untuk kemakmuran negara pada masa depan sesuai dengan konsep 'Satu Malaysia', kata calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa pelantikan Najib sebagai perdana menteri keenam akan membawa banyak idea baru sekaligus menjadi pemangkin terhadap perubahan dalam kerajaan dan BN.

"Berdasarkan rekod dan pengalaman Najib yang begitu luas, saya yakin beliau akan memacu negara ke arah perubahan yang lebih signifikan terhadap kemajuan dan kemakmuran negara," katanya ketika ditemui di pejabat Umno Bahagian Bukit Gantang di sini.

Sebelum itu, beliau menghadiri beberapa siri program bertemu rakyat dan melawat mangsa banjir di sekitar Parlimen Bukit Gantang.

Mengenai dakwaan pembangkang bahawa BN melaksanakan projek 'mee segera' untuk memancing undi, beliau berkata, projek yang sedang dilaksanakan sekarang sebenarnya sudah dirancang sebelum pilihan raya kecil itu lagi.

Beliau berkata, projek yang dijalankan seperti pembinaan jalan, longkang dan perparitan bagi mengelakkan banjir adalah untuk kemudahan rakyat yang perlu disegerakan tanpa menunggu pilihan raya, selain pilihan raya kecil itu bukan sesuatu yang dirancang.

Ismail berkata, Pas sentiasa mencari apa sahaja peluang yang ada untuk memanipulasi sebarang isu bagi mengelirukan pengundi sedangkan rakyat semakin bijak menilai kemampuan serta keikhlasan BN melaksanakan projek pembangunan.

"Semua projek itu dijalankan bukan untuk kepentingan penyokong BN semata-mata tetapi untuk semua rakyat termasuk penyokong Pas. Malah, dari Perlis hingga Kuala Lumpur kita akan melihat banyak projek seperti itu dilaksanakan sedangkan di tempat berkenaan bukan ada pilihan raya," katanya.

Pada pilihan raya kecil 7 April ini, Ismail, 49, dicabar calon Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, 52, dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris, 42.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum dari Pas pada 9 Februari lalu, akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 8 Mac, 2008, Roslan memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan calon BN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M Mohganan dengan majoriti 1,566 undi. - Bernama

Saturday, March 28, 2009

Tuesday, March 17, 2009

Discovery Berjaya Di Lancar Ke Angkasa


KAPAL angkasa Discovery dilancarkan dari tapak pelancaran 39A di Pusat Angkasa Kennedy pada kira-kira 7.43 pagi waktu Malaysia, semalam, membawa tujuh angkasawan ke ISS. -
CAPE CANAVERAL
, Florida 16 Mac - Kapal angkasa Discovery berjaya dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di sini awal pagi ini dengan membawa bersama panel suria yang akan dipasang bagi memperbesar ruang bagi persediaan penambahan krew di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Kapal angkasa Discovery dilancarkan pada pukul 7.43 malam (7.43 pagi ini waktu Malaysia) dan memasuki orbit lapan minit kemudian. Perjalanan ke stesen ISS dijangka mengambil masa selama dua hari.
Pengarah Misi Pelancaran, Mike Leinbach berkata, pelancaran itu berjalan dengan sempurna.
"Saya telah melihat banyak pelancaran... dan ini merupakan pelancaran yang paling cantik dilihat. Ia menakjubkan," katanya pada pemberita dalam satu sesi taklimat di sini.

Gobind digantung 12 bulan

KUALA LUMPUR 16 Mac - Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk menggantung Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) daripada menghadiri sidang Dewan selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta.
Selain digantung, Gobind tidak akan menerima sebarang bayaran elaun dan kemudahan sebagai Ahli Parlimen sepanjang tempoh tersebut.
Tindakan tersebut diambil ekoran dua kenyataan Gobind yang mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terbabit dalam kes pembunuhan selain menghina Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat setelah diperintah keluar Dewan.
Kenyataan berkenaan dibuat Gobind pada 12 Mac lalu semasa perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009).
Sewaktu membentangkan usul tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kenyataan Gobind itu sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai ahli Parlimen serta merupakan penghinaan kepada Dewan.

Monday, March 16, 2009

Agenda besar runtuhkan negara
KUALA LUMPUR 15 Mac – Pemuda UMNO yakin ada pihak tertentu yang sedang memainkan peranan dan mempunyai agenda besar bagi meruntuhkan keamanan dan kekuatan negara.
Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, agenda itu dapat dilihat melalui rusuhan, gerakan kumpulan, fitnah dan tindakan menghasut dan menghuru-harakan negara.
Katanya, agenda itu juga bertujuan melemahkan kekuatan institusi yang selama ini menunjangi kemerdekaan.
“Selama ini iaitu sebelum kewujudan pihak tertentu, tidak pernah ada anak Melayu yang tergamak baring di atas jalan untuk menghalang kenderaan raja.
“Anak Melayu selama ini tidak sanggup membaling batu ke arah rajanya sendiri dan tidak mungkin warga Perak biadab kepada raja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, katanya, Pemuda UMNO yakin golongan yang menderhaka itu terdiri daripada individu yang tidak sedar bahawa dirinya diperalat untuk memenuhi agenda besar pihak berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO akan memastikan impian pihak tersebut untuk memecahbelahkan ahli, melaga-lagakan pemimpin dan melemahkan parti ketika ini tidak menjadi kenyataan.
“Kami akan mewujudkan gelombang kebangkitan Pemuda UMNO untuk menghalang niat buruk pihak berkenaan.
“Sepanjang kempen pilihan raya kecil di tiga kawasan iaitu Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air, kami akan menyedarkan generasi dan pengundi muda,” katanya.
Beliau berkata, generasi dan pengundi muda perlu sedar taktik kotor pembangkang yang mencampur-aduk maklumat benar dan separuh benar untuk mengelirukan serta memikat hati masyarakat.
Menurutnya, pemimpin Melayu yang sanggup diperalatkan untuk membuat tohmahan terhadap pemimpin adalah pengkhianat besar.

Gobind Singh wajar dikenakan tindakan
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM saiful.hasam@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 15 Mac - Ahli Parlimen Puchong dari DAP, Gobind Singh Deo wajar dikenakan tindakan mahkamah kerana mempersoalkan keadilan sistem perundangan negara di Dewan Rakyat, Khamis lalu.
Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, kenyataan Gobind itu tergolong dalam kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.
Katanya, tindakan mahkamah itu tidak bertentangan dengan imuniti yang dinikmati Ahli Parlimen sewaktu berucap di Dewan Rakyat kerana keistimewaan itu mempunyai had tertentu sebagaimana yang dinyatakan Artikel 63(4) Perlembagaan Persekutuan.
"Kalau seorang wakil rakyat membangkitkan isu kedaulatan raja, hak istimewa Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perkara-perkara di bawah akta hasutan, mereka boleh diseret ke mahkamah.
"Akta hasutan menyatakan kalau sesiapa mempersoalkan dan membangkitkan kemarahan rakyat terhadap sistem keadilan negara, maka ia tergolong di bawah maksud kecenderungan menghasut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Gobind diperintahkan keluar Dewan oleh Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee setelah beliau menimbulkan suasana tegang apabila mempersoalkan sistem keadilan dalam pendakwaan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.
Ronald kemudian mengarahkannya berhenti daripada membangkitkan perkara tersebut berikutan kes berkenaan sedang dalam perbicaraan mahkamah namun Gobind terus berdegil.
Dalam keadaan marah dan tidak puas hati, Gobind kemudian keluar Dewan sambil diiringi bentara.
Ketika ditemui pemberita kemudiannya, beliau yang diminta mengulangi tuduhan tersebut di luar Dewan berkata: "Saya tidak mahu ulang kerana dalam Dewan saya dilindungi oleh kekebalan Ahli Dewan."