Monday, March 16, 2009


Gobind Singh wajar dikenakan tindakan
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM saiful.hasam@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 15 Mac - Ahli Parlimen Puchong dari DAP, Gobind Singh Deo wajar dikenakan tindakan mahkamah kerana mempersoalkan keadilan sistem perundangan negara di Dewan Rakyat, Khamis lalu.
Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, kenyataan Gobind itu tergolong dalam kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.
Katanya, tindakan mahkamah itu tidak bertentangan dengan imuniti yang dinikmati Ahli Parlimen sewaktu berucap di Dewan Rakyat kerana keistimewaan itu mempunyai had tertentu sebagaimana yang dinyatakan Artikel 63(4) Perlembagaan Persekutuan.
"Kalau seorang wakil rakyat membangkitkan isu kedaulatan raja, hak istimewa Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perkara-perkara di bawah akta hasutan, mereka boleh diseret ke mahkamah.
"Akta hasutan menyatakan kalau sesiapa mempersoalkan dan membangkitkan kemarahan rakyat terhadap sistem keadilan negara, maka ia tergolong di bawah maksud kecenderungan menghasut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Gobind diperintahkan keluar Dewan oleh Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee setelah beliau menimbulkan suasana tegang apabila mempersoalkan sistem keadilan dalam pendakwaan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.
Ronald kemudian mengarahkannya berhenti daripada membangkitkan perkara tersebut berikutan kes berkenaan sedang dalam perbicaraan mahkamah namun Gobind terus berdegil.
Dalam keadaan marah dan tidak puas hati, Gobind kemudian keluar Dewan sambil diiringi bentara.
Ketika ditemui pemberita kemudiannya, beliau yang diminta mengulangi tuduhan tersebut di luar Dewan berkata: "Saya tidak mahu ulang kerana dalam Dewan saya dilindungi oleh kekebalan Ahli Dewan."

No comments: