Monday, March 9, 2009

Hayati Maulidur Rasul
KUALA LUMPUR 8 Mac - Masyarakat Islam perlu menghayati makna di sebalik sambutan Maulidur Rasul dan sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini.
Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad berkata, renungan dan peringatan zahir sahaja tidak memadai jika tiada pengisian penting dan penghayatan untuk mentafsirkannya dalam bentuk akidah dan amalan.
"Majlis seumpama ini penting bagi memperingati kisah perjuangan dan pengorbanan baginda berdakwah dan memartabatkan Islam.
"Amalan secara tradisi ini juga merupakan kaedah penyatuan ummah dan permuafakatan paling berkesan bagi menyatupadukan masyarakat Islam daripada pelbagai perbezaan pendapat dan ideologi," katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan Maulidur Rasul Pemangkin Khaira Ummah anjuran Masjid Negara bagi tahun 1430/2009M di Masjid Negara di sini malam tadi.
Kira-kira 500 orang menyertai sambutan yang bermula pada pukul 8 malam itu.
Ia dimulakan dengan persembahan marhaban dan berzanji oleh kumpulan Marhaban Al-Islah dari Masjid Jamek Ibnu Khaldun, Sungai Besi.

No comments: