Friday, March 6, 2009

Atasi Gangsterisme Pelajar Dengan Nilai Islam

Atasi gangsterisme pelajar dengan nilai Islam
Oleh ZULZAIDI MAHMOD



KES-KES pembulian pelajar sekolah seakan seperti satu pesta yang berleluasa di Malaysia hari ini. Terpampang di dada akhbar dan paparan televisyen satu demi satu pembongkaran masalah gangsterisme pelajar sekolah.
Kes-kes pembulian ini seolah-olah satu tradisi turun-temurun sama ada di sekolah, lebih-lebih lagi pembulian di asrama. Selalunya pelajar-pelajar senior dari tingkatan empat hingga tingkatan enam yang melakukan perkara tidak berperikemanusiaan ini.
Pelajar-pelajar junior yang membuat masalah dan disyaki bersalah seperti mencuri, menghisap rokok, ponteng dan sebagainya tidak terus dihadapkan kepada lembaga disiplin sekolah atau asrama tetapi diadili di 'mahkamah' pelajar senior untuk diambil tindakan dan dijatuhi hukuman.
Semestinya masyarakat sedia maklum hukuman dan tindakan yang diambil oleh pelajar senior adalah dengan memukul mangsa sehingga pengsan, luka, patah dan ada yang sampai menemui ajal.
Perkara ini memang satu kesalahan yang sukar untuk dimaafkan, kerana tindakan yang diambil oleh mereka itu bersalahan dengan tatatertib sekolah.
Sepatutnya, pelajar yang membuat masalah perlulah terus dihadapkan kepada lembaga disiplin sekolah atau asrama kerana tatatertib akan diambil mengikut kesalahan dan prosedur yang ada.
Kes-kes pembulian atau gangsterisme sekolah juga tidak pernah mengenal sama ada pelajar-pelajar yang membuat kesilapan atau disyaki membuat kesalahan itu berada dalam keadaan benar ataupun tidak.
Apa yang penting untuk kaki pukul ini adalah melepaskan geram kepada junior dengan pukulan, sepakan, tamparan, terajang dan sebagainya.
Kata-kata lumrah semasa memukul pelajar adalah dengan memaki hamun pelajar yang membuat salah dengan kata-kata kesat dan mengkategorikan apa yang dilalui mereka itu jauh lebih ringan daripada mereka (senior) terdahulu.
Antaranya: "Aku kira baiklah pukul kau perlahan, dulu aku kena pukul lagi teruk." Lafaz-lafaz inilah yang selalunya diluahkan oleh pembuli-pembuli yang tidak memikirkan masa depan mereka.
Ugutan-ugutan yang melampaui batas juga selalunya terhambur keluar daripada mulut mereka, seperti jika kes ini diketahui umum pelajar yang disyaki membuat salah akan dipukul lebih teruk daripada kali pertama. Sehingga kepada ugutan-ugutan bunuh yang dilakukan tetapi disembunyikan kepada masyarakat awam.
Kes-kes pukul yang melibatkan pelajar kerap kali kedengaran seperti yang berlaku baru-baru ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya, Dalat Sarawak, kes di Marang, Terengganu yang melibatkan pelajar senior yang memukul junior dengan menghantukkan kepala ke tiang, di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 5, Wangsa Maju yang mana mangsa dipukul dalam bas gara-gara terlanggar bahu kekasih salah seorang ahli kumpulan buli sekolah dan banyak lagi untuk dibongkarkan.
Masalah ini dilihat sukar untuk diselesaikan. Namun, jika semua pihak berganding bahu mendokong penyelesaian masalah ini secara berhikmah, pasti perkara ini dapat diselesaikan.
Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM), Izzat Amin Mohd. Nasir mencadangkan masalah gangsterisme pelajar sekolah bagi yang beragama Islam perlu ditangani dengan cara Islam.
Kaedah Islam ini adalah dengan menanam nilai-nilai kerohanian dalam diri semua pelajar seperti dekati pelajar dengan al-Quran, suasana sekolah yang berlandskap Islamik contohnya; papan-papan tanda yang memuji Allah SWT, hakikatnya memainkan peranan dalam hal ini.
Pelajar sekolah pada hari ini, seakan jauh daripada al-Quran. Jika kita membuat kajian ke atas pelajar sekolah kebanyakannya masih terkapai-kapai untuk mengenali huruf-huruf di dalam al-Quran, apatah lagi membacanya.
Sewajarnya pihak sekolah amat berperanan penting memastikan kes-kes ini tidak berulang lagi. Guru-guru disiplin perlu lebih tegas dalam memastikan masalah pembulian ini tidak berleluasa.
Cadangan menanamkan nilai-nilai kerohanian seperti terlibat dengan Badan Dakwah dan Kerohanian Sekolah (Badar), merupakan satu langkah bijak.
Melalui penglibatan pelajar dalam badan-badan dakwah ini, secara tidak langsung suasana sekolah dan asrama lebih berunsurkan Islam.
Sekali gus memberi kesan dalam diri pelajar dan menerapkan nilai-nilai kerohanian dapat berjalan dengan lancar di sekolah dan asrama.
Kes-kes pembulian ini perlu diterapkan padah kesannya kepada mereka sejak dari awal persekolahan agar pelajar-pelajar ini tidak melakukan perkara sedemikian

No comments: