Friday, March 13, 2009

Majlis Peguam tidak kebal undang-undang
KUALA LUMPUR 12 Mac - Majlis Peguam tidak kebal daripada tindakan sekiranya didapati melanggar undang-undang negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Majlis Peguam merupakan satu entiti sama seperti individu lain di negara yang dikawal oleh undang-undang dan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Mukhriz Mahathir (BN - Jerlun) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mukhriz bertanyakan tindakan majlis itu sebelum ini yang mempertikaikan status agama Islam di negara ini dan penglibatan mereka dalam politik negara sehingga menimbulkan perasaan marah dan kesangsian di kalangan rakyat.
Terdahulu, Mukhriz dalam soalan asalnya menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk meminda Akta Profesion Perundangan 1976.
Mohamed Nazri berkata, kerajaan pada masa ini tidak bercadang meminda akta itu sebagai salah satu usaha mengehadkan bidang kuasa Majlis Peguam yang dilihat cenderung terlibat dalam politik negara, sehingga mengabaikan kebajikan ahlinya.
Katanya, kuasa Majlis Peguam antara lain ialah untuk memberikan pandangan mengenai apa-apa perkara yang berkaitan perundangan, pentadbiran dan pengamalan undang-undang di negara.
"Jika sesetengah perkara politik negara melibatkan soal perundangan, maka majlis itu mempunyai kuasa untuk memberi pandangan yang dikira wajar dan sesuai, tanpa melibatkan diri secara terus dalam proses politik negara," katanya.

No comments: